TINJAUAN sekatan dan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Sungai Buloh susulan pelaksanaan PKP sehingga 14 April. FOTO Eizairi Shamsudin
TINJAUAN sekatan dan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Sungai Buloh susulan pelaksanaan PKP sehingga 14 April. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Atiqah Sulaiman


EMPAT lelaki akan dituduh di Mahkamah Sepang kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua mereka sebelum ini ditahan ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat sekatan jalan OPS Covid-19.

“Pada 25 Mac lalu jam 8.30 malam pihak PDRM dan ATM menahan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun.

“Semakan ke atas kereta berkenaan mendapati tiada rekod kenderaan hilang, sementara semakan kad pengenalan dapati tiada rekod dikehendaki polis.

“Hasil temubual dapati ketiga-tiga lelaki berkenaan tidak dapat memberi keterangan yang munasabah mengenai pergerakan mereka keluar daripada rumah seperti mana arahan PKP yang dikeluarkan.

“Pada hari sama, jam 8.45 malam polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun, menaiki motosikal. Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan gagal memberi keterangan munasabah mengenai pergerakannya semasa PKP,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Wan Kamarul berkata, bagi kesemua lelaki berkenaan pihaknya menerima perintah penyiasatan (OTI) dan siasatan sudah dijalankan di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan keputusan siasatan.

“Pihak polis menerima Arahan untuk Tuduh dibawah Peraturan 3 PPPPB dan dihukum dibawah Peraturan 7 (1) PPPPB (Langkah-langkah Di Bawah Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu Wan Kamarul menasihatkan orang ramai supaya mengikut arahan PKP yang dikuatkuasakan pada 18 Mac hingga 14 April depan.

Menurutnya, polis Sepang akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan pentadbirannya bagi memastikan orang ramai mengikut arahan berkenaan.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang di dapati melanggar arahan terbabit seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita

    berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 9:42 AM