EMPAT lelaki bersama peralatan memancing. FOTO Ihsan PDRM Johor
EMPAT lelaki bersama peralatan memancing. FOTO Ihsan PDRM Johor
Nurul Amanina Suhaini


EMPAT lelaki termasuk seorang pelajar ditahan polis ketika sedang leka memancing ikan di jambatan Sungai Hutan Lesong, Kampung Teluk Tanjung Sedili, malam tadi dan tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata dalam kejadian 9.45 malam itu, pasukan khas Covid-19 Kota Tinggi menjalankan Rondaan Op Covid-19 dan menahan semua individu berusia 13 hingga 42 tahun.

“Mereka ditahan ketika sedang leka memancing ikan di atas jambatan Sungai Hutan Lesong dan melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi PKP.

“Menyedari kehadiran pihak polis, kesemua mereka melarikan diri, namun dengan ketangkasan pihak polis, suspek berjaya diberkas. Soal siasat awal mendapati kesemua mereka berada di lokasi untuk memancing ikan walaupun perintah kawalan pergerakan sudah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 7 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan juga mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan tidak mengendahkan pihak polis, selain cuba melarikan diri daripada diperiksa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 10:51 AM