Abdul Rahemang Taiming


LELAKI bertindak mengunci diri di dalam keretanya bagi mengelak ditahan polis selepas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Megah Jaya, Tawau.

Polis terpaksa mengambil masa 30 minit untuk ‘memujuk’ pemuda berusia 34 tahun itu keluar daripada kenderaan, dalam kejadian 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti terserempak dengan lelaki itu di belakang deretan kedai di Taman Megah Jaya.

“Ketika anggota menghampiri, pemandu memecut kenderaannya dan memaksa anggota mengejar sebelum dia tiba-tiba berhenti di bahu jalan.

“Lelaki itu cuba melarikan diri namun, kembali semula ke keretanya dan mengunci pintu.

“Selepas dipujuk hampir 30 minit, akhirnya lelaki itu membuka pintu sebelum pemeriksaan badan dilakukan dan dia ditahan kerana melanggar PKP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peter berkata, tindakan suspek melarikan diri menunjukkan dia mengetahui larangan dalam tempoh PKP.

Untuk itu katanya, suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:15 PM