PALONG emas dan enjin kuasa elektrik yang digunakan sindiket melombong emas di Hutan  Simpan Ulu Jelai. FOTO Mohd Rafi Mamat
PALONG emas dan enjin kuasa elektrik yang digunakan sindiket melombong emas di Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


CABARAN meredah tujuh anak sungai membuahkan kejayaan dengan pembongkaran kegiatan melombong emas secara haram di Kompartmen 187, Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis, semalam.

Dalam operasi 12.15 tengah hari, serbuan dilakukan sepasukan 10 anggota Unit Penguat Kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) diketuai Pengawas Hutan Baharuddin Ahmad.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kegiatan melombong emas haram itu dikesan dilakukan kira-kira 700 meter daripada kawasan bekas lesen pembalakan.

Menurutnya, kewujudan jalan balak sedia ada memudahkan pihak terbabit membawa masuk pelbagai peralatan dan jentera berat untuk melakukan aktiviti haram itu.

“Pemeriksaan menemui palong, jengkaut, dua unit enjin kuasa elektrik, mesin kimpalan dan 13 tong minyak dipercayai digunakan sindiket untuk mencari emas secara haram.

“Sindiket ini dipercayai didalangi individu berpengalaman luas dalam aktiviti mencari emas kerana sanggup mengeluarkan modal besar dengan menyediakan pelbagai peralatan termasuk jentera berat.

“Mereka juga dipercayai baru memulakan aktiviti mencari emas di Hutan Simpan Ulu Jelai ini,” katanya, hari ini.

Menurutnya, sebelum itu anggota penguat kuasa turut membuat pemeriksaan di Hutan Simpan Aur Gading, Kuala Lipis selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan sama.

Katanya, pihak terbabit membina dua parit besar di atas jalan bagi mengelak pihak berkuasa membuat rondaan.

“Akibat itu, anggota penguat kuasa terpaksa berjalan kaki sejauh 500 meter untuk sampai ke lokasi didakwa terdapat kegiatan melombong.

“Pemeriksaan menemui dua bekas tapak kegiatan melombong, tetapi ia sudah lama ditinggalkan, selain tiada peralatan melombong ditemui.

“Jabatan memandang serius aktiviti melombong emas secara haram yang berlaku di daerah ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Katanya, pihaknya juga tidak pernah meninggalkan aktiviti rondaan walaupun negara kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:19 PM