Azrul Affandi Sobry


KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan ditambah tempohnya sehingga 14 April, masih ramai yang tidak mematuhi arahan dengan keluar rumah sehingga menyebabkan kesesakan teruk di beberapa lokasi dalam negara.

Tinjauan Harian Metro di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) mendapati banyak kenderaan melalui lebuh raya itu dari Kajang menuju ke pusat bandar.

Malah, kesesakan yang bermula dari Plaza Tol Batu 11 berhampiran Bukit Dukong berlaku sepanjang lebih satu kilometer berikutan sekatan jalan raya di kawasan Batu 9.

Berdasarkan perkongsian beberapa petugas keselamatan di situ, kesesakan itu sudah berlaku sejak pagi dan dianggarkan lebih 4,000 kenderaan melalui sekatan jalan raya.

“Entahlah.. bila mereka nak sedar.” Hanya itu luahan anggota polis ketika ditemui wartawan dengan sesekali menggelengkan kepala tanda kesal dengan situasi di situ.

Paling membingungkan, tidak pasti apa tujuan begitu ramai melalui lebuh raya yang menghubungkan Cheras dan Kajang itu kerana menurut polis di situ, jumlah kenderaan pada hari ini begitu ketara sedangkan bukan hari bekerja.

Agak keterlaluan juga ketika wartawan melalui beberapa kenderaan, ada yang menurunkan tingkap dan menyalahkan polis kerana menyusahkan mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya.

“Kereta banyak, masa ini pula mereka buat sekatan jalan raya,” kata seorang pemandu yang membuka tingkapnya sebelum meluahkan kekecewaannya kepada wartawan.

Sepanjang pemerhatian wartawan melalui lebuh raya itu, sekatan jalan raya di situ memang secara konsisten dilakukan setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan, namun jumlah kenderaan yang melalui kawasan itu pada hari ini agak di luar jangkaan.

Pada hari biasa, kesesakan yang berlaku hanya sepanjang 300 meter tetapi pada hari ini, kesesakan itu sudah bermula sejurus selepas tol Batu 11 sedangkan kaedah pemeriksaan pihak keselamatan adalah sama seperti hari-hari sebelumnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:27 PM
    KESESAKAN yang bermula dari Plaza Tol Batu 11 berhampiran Bukit Dukong berlaku sepanjang lebih satu kilometer. FOTO Azrul Affandi Sobry
    KESESAKAN yang bermula dari Plaza Tol Batu 11 berhampiran Bukit Dukong berlaku sepanjang lebih satu kilometer. FOTO Azrul Affandi Sobry