Mohd Roji Kawi


LELAKI yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya memiliki dadah, malah ujian air kencingnya turut didapati positif bahan larangan itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, suspek berusia 29 tahun yang positif methamphetamine itu ditahan pada 6.35 pagi hari ini selepas melanggar SJR di Batu 11 Jalan Kuching-Serian.

Katanya, suspek merempuh sekatan ketika memandu Honda City dan kemudian memecut melawan arus menghala ke Siburan.

“Tindakan agresifnya melarikan diri memaksa polis menggunakan dua pacuan empat roda untuk menghalang tetapi dia melanggar sebuah daripada kenderaan itu selain sebuah kereta peronda.

“Selepas melanggar kenderaan polis, dia sekali lagi memandu melawan arus dan terbabas apabila melanggar Perodua Viva. Polis berjaya menahannya dengan kekerasan paling minimum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada dalam pengaruh dadah dan pemeriksaan dalam kereta menjumpai satu bungkusan kecil dipercayai dadah di bawah tempat duduk pemandu.

Menurutnya, lelaki itu ditahan dan disiasat Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Bagi kesalahan mengikut peraturan itu, dia dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Isnin,” katanya yang memberitahu lelaki itu berdepan siasatan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Aidi berkata, 48 individu termasuk lelaki itu dan tiga wanita ditahan kerana mengingkari PKP dalam tempoh 24 jam mulai 8 pagi semalam.

Katanya, Sibu mencatat jumlah paling ramai ditahan dengan 12 orang, diikuti Miri (11), Kuching (10), Padawan (lima), Bintulu (empat), Matu Daro (empat) dan Sarikei (dua).

“Kesemua mereka ditahan kerana tidak dapat memberi alasan yang kukuh untuk berada di jalan raya atau tempat awam,” katanya.

Sehingga kini, 113 individu ditahan kepada mengingkari PKP dengan 28 daripadanya ditahan Khamis lalu dan 12 individu termasuk dua wanita didakwa di mahkamah serta dihukum penjara antara dua hingga empat bulan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:38 PM