X
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu mengambil langkah segera dalam menangani isu peraih atau orang tengah bagi memastikan nelayan tidak terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Azrilnizam Omar berkata, persatuan nelayan kawasan juga diminta membantu dengan memasarkan ikan bagi menghapuskan monopoli orang tengah.

Katanya, ini kerana sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, sebahagian peraih enggan membeli hasil tangkapan nelayan berikutan mendakwa sukar memasarkannya.

“Keadaan ini menyebabkan sebahagian nelayan yang bergantung kepada peraih terutama nelayan pantai tidak lagi mahu turun ke laut bagi mengelak mengalami kerugian.

“Ia akan menjejaskan pendapatan mereka dan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan (perikanan) negara,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Katanya, pihaknya berharap kerajaan dapat membantu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan nasib nelayan terutama nelayan pantai terus terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:42 PM