FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Ahmad Rabiul Zulkifli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan enam nelayan dari Kuala Terengganu yang tidak pulang selepas keluar ke laut, sejak 20 Mac lalu.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi SAR dikoordinasikan APMM itu meliputi perairan Terengganu dan Pahang serta membabitkan aset laut sebanyak satu kapal dan dua bot APMM.

“Turut sama dalam usaha pencarian itu ialah Pasukan Polis Marin (PPM) selain tiga bot nelayan tempatan.

“Nelayan terbabit dikenali sebagai Mohd Yusof Awang, 45, Abdul Gani Sulong, 60, Awang Salleh, 40, dan Anuar Shafie, 30, selain dua awak-awak warganegara Thailand,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dihubungi melalui radio pada 25 Mac dan lokasi terakhir bot kelas C itu dikesan di perairan Pahang.

Menurutnya, bot dinaiki mangsa berkemungkinan rosak sebelum dihanyutkan arus hingga ke perairan Pahang.

“APMM berharap orang ramai terutama nelayan yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

“Kami mengharapkan kerjasama orang ramai dan sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 5:17 PM