Hishammuddin (dua dari kiri) dan Bai Tian (dua kanan) ketika Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Malaysia di Wisma Putra, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hishammuddin (dua dari kiri) dan Bai Tian (dua kanan) ketika Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Malaysia di Wisma Putra, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Luar menggesa rakyat Malaysia di Amerika Syarikat dan United Kingdom segera pulang sebelum negara terbabit menguatkuasakan perintah berkurung berikutan penularan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu perlu kerana ketika ini syarikat penerbangan komersial dari kedua-dua negara masih beroperasi.

Menurut beliau, kos membawa pulang rakyat Malaysia itu sangat tinggi dan sebagai contoh bagi membawa pulang rakyat di Amerika Syarikat boleh mencecah sehingga RM50 juta.

“Sekiranya mereka pulang secara sendiri kos ini dapat dijimatkan dan dimanfaatkan kerajaan membeli keutamaan lain seperti peralatan perubatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia disampaikan oleh Duta Besar China ke Malaysia TYT Bai Tian.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

Kerajaan China menyumbang Kit Diagnostik Asid sebanyak 100,008 unit, kit ujian(100,000 unit), topeng muka N95 (500,000 unit), topeng muka pembedahan (50,000 unit) dan Peralatan Perlindungan Peribadi (200 unit).

Hishammuddin berkata, kerajaan perlu berhadapan dua perkara sekiranya terdapat rakyat Malaysia terkandas disebabkan perintah berkurung itu.

Pertama katanya kerajaan harus ada hubungan baik dengan negara berkenaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.

Katanya, perkara kedua adalah kerajaan berhadapan kos tinggi bagi membiayai penerbangan membawa pulang ke negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 5:40 PM