DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. Gambar fail NSTP.
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. Gambar fail NSTP.
Mohd Roji Kawi


SARAWAK menubuhkan jawatankuasa khas untuk memastikan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mencapai matlamatnya.

Ia juga memastikan memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat negeri itu.

Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, jawatankuasa berkenaan dianggotai bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan semalam dan beliau sudah mengarahkan supaya penyampaian pakej itu di Sabah dan Sarawak dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Justeru, kita menubuhkan jawatankuasa yang akan mengkoordinasikan kaedah penyampaian pakej berkenaan,” katanya pada sidang media di Kompleks The Spring, Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata, pengagihan peruntukan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat itu mengukuhkan lagi kemampuan kewangan kerajaan Sarawak yang sebelum ini melancarkan pakej Sarawakku Sayang.

“Pakej Sarawakku Sayang disediakan atas keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap rakyat dan kini kita menerima satu lagi pakej daripada Kerajaan Persekutuan, sekali gus dapat mengukuhkan lagi kemampuan kita untuk membantu rakyat yang memerlukan yang terkesan akibat Covid-19.

“Bagi Sarawak, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan itu adalah yang terbaik kerana ia memberi faedah secara menyeluruh,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:12 PM