Amir Abd Hamid


SERAMAI 61 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala seorang maut akibat virus itu hari ini bagi tempoh sehingga 5 petang.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan discaj daripada wad adalah sebanyak 320 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini terdapat 159 kes baharu dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,320 kes.

“Sehingga kini, seramai 73 kes positif virus itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah itu, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai satu kematian dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), katanya, ia membabitkan lelaki tempatan berusia 61 tahun.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 27 kes iaitu membabitkan kes ke-2,162.

“Beliau (arwah) mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Tangkak pada 24 Mac, sehari kemudian dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.50 pagi hari ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah kes Covid-19 membabitkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara direkodkan sejak kebelakangan ini.

Justeru, katanya, KKM memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat dikeluarkan.

“Bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:26 PM