GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan menafikan laporan mengatakan stok beras negara hanya mampu bertahan selama dua bulan setengah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, stok semasa beras tempatan yang berada di peringkat kilang, pemborong dan peruncit berjumlah 523,000 tan metrik.

“Ini tidak mengambil kira stok pengeluaran beras tempatan dan beras import yang berada dalam negara.

“Buat masa ini, import beras juga tidak terjejas dan berjalan seperti sedia kala. Selain Vietnam, beras turut diimport dari negara pengeluar lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Kemboja dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) juga diarahkan kerajaan untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara.

“Bagaimanapun, kebergantungan kepada beras import hanya 30 peratus daripada keseluruhan keperluan dalam negara.

“Jumlah stok semasa beras dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara yang berterusan,” katanya.

Ronald berkata, kementerian juga akan terus memantau bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 tan metrik.

“Kita menasihati orang ramai supaya tidak bimbang dengan keadaan stok beras dalam negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:54 PM