BANTUAN berupa keperluan harian disalurkan kepada penduduk sekitar Tanjung Aru yang terjejas susulan Covid-19. FOTO JUWAN RIDUAN
BANTUAN berupa keperluan harian disalurkan kepada penduduk sekitar Tanjung Aru yang terjejas susulan Covid-19. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SEBANYAK 2,000 pek bantuan keperluan harian disalurkan kepada penduduk di kawasan Tanjung Aru, Kota Kinabalu yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Bantuan itu disalurkan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Katanya, agihan bantuan itu diedarkan berfasa bagi memastikan setiap kampung di Tanjung Aru mendapat bekalan yang secukupnya.

“Ada beberapa kampung yang belum dapat bantuan tetapi jangan panik, sebab ada yang mesej saya bahawa di kawasan Tanjung Aru Baru belum dapat.

“Agihan ini kita buat berfasa kerana ingin pastikan setiap kampung sudah mencukupi bekalan terlebih dahulu baru kita akan hantar ke kawasan seterusnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, Pasir Putih dan sebahagian kawasan di sekitar Sembulan juga belum mendapat bantuan kerana pihaknya masih menunggu senarai penerima daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau wakil kawasan.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Tanjung Aru Baru, Zainal Abidin bersyukur atas bantuan yang diberikan untuk meringankan bebanan penduduk.

“Saya mewakili penduduk kampung ingin menyampaikan jutaan terima kasih atas bantuan ini dan ia membantu kami menampung hidup sepanjang PKP dilaksanakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:57 PM