FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.


SEBANYAK 50,000 penutup mulut dan hidung diterima kerajaan negeri daripada tiga syarikat China yang beroperasi di Gebeng di sini, hari ini.

Tiga syarikat berkenaan ialah Beibu Gulf Holding (Malaysia) Sdn Bhd, Jianhui Paper (Malaysia) Sdn Bhd dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Timbalan Pengurus Besar Beibu Gulf Holding Lu Yong berkata, apabila Covid-19 melanda China, Malaysia memberikan sokongan moral dan terus mengagihkan bantuan kepada republik itu.

“Apabila Covid-19 di China beransur pulih dan Malaysia mula menunjukkan peningkatan jumlah kes wabak ini, kami mahu membantu rakyat dan kerajaan negeri Pahang.

“Sumbangan ini menunjukkan solidariti kami untuk bekerjasama dalam menyekat penularan wabak terbabit,” katanya pada kenyataan media.

Yong menyumbangkan penutup mulut dan hidung kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak di Wisma Sri Pahang di sini.

Bagi mengatasi kekurangan bekalan topeng berkenaan, Yong berkata, China akan menghantar bekalan secara berperingkat ke Pahang.

“Hubungan Malaysia-China yang rapat membolehkan MCKIP bersama beberapa syarikat dari China menyumbang penutup mulut dan hidung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:03 PM