APMM sedang mengesan Bot kelas C bersama enam nelayan dipercayai rosak dan dihanyutkan arus hingga ke perairan Pahang. FOTO IHSAN APMM
APMM sedang mengesan Bot kelas C bersama enam nelayan dipercayai rosak dan dihanyutkan arus hingga ke perairan Pahang. FOTO IHSAN APMM
Ahmad Rabiul Zulkifli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam nelayan dari daerah ini yang tidak pulang selepas keluar ke laut sejak 20 Mac lalu.

Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi SAR yang dikoordinasikan oleh APMM meliputi perairan Terengganu dan Pahang serta membabitkan satu kapal dan dua bot APMM. “Pasukan Polis Marin (PPM) selain tiga bot nelayan tempatan turut membantu SAR,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mangsa ialah Mohd Yusof Awang, 45, Abdul Gani Sulong, 60, Awang Salleh, 40, dan Anuar Shafie, 30, selain dua awak-awak warganegara Thailand.

Menurut beliau, kali terakhir mangsa dihubungi melalui radio ialah pada 25 Mac dan lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Pahang.

“Bot itu berkemungkinan rosak sebelum dihanyutkan arus hingga ke perairan Pahang,” katanya.

Menurutnya, APMM berharap orang ramai terutama nelayan yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

“Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:09 PM