PBS Mount Erskine ketika melakukan proses nyahcemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, semalam.
PBS Mount Erskine ketika melakukan proses nyahcemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, semalam.
Zuhainy Zulkiffli


“BUKAN balasan atau pujian yang kami inginkan tetapi hanya mahu semuanya cepat berlalu.”

Itu kata Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine, Ngoh Chin Wah yang melakukan proses nyahcemar di sekitar daerah Timur Laut sejak enam hari lalu secara sukarela bersama pasukannya.

Ngoh berkata, disebabkan tidak mempunyai peralatan perlindungan peribadi (PPE) cukup, hanya 10 anggota sahaja yang dapat melakukan kerja pembersihan itu pada satu-satu masa.

“Kami berpecah kepada dua kumpulan kerana hanya mempunyai empat set PPE, jika ia mencukupi kelak, kami akan tambah lagi anggota bagi melakukan kerja ini.

“Sudah enam hari kami melakukan kerja berkenaan secara sukarela di sekitar daerah ini dan semburan dikenakan di setiap bangunan dan jalan yang kami lalui,” katanya yang ditemui selepas melakukan proses nyahcemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, Georgetown, semalam.

Ngoh berkata, cecair pembasmi kuman yang digunakan adalah bancuhan sendiri sama seperti yang digunakan bagi membasmi virus Covid-19.

Katanya, dia memperoleh formula itu daripada kenalannya yang juga petugas dari negara terbabit.

Katanya, setiap hari sebanyak 5,400 liter air yang dicampur dengan alkohol dan beberapa bahan lain digunakan bagi membuat cecair nyahcemar itu dengan kos hampir RM1,000.

Bancuhan formula itu mestilah tepat bagi membunuh virus berkeaan.

“Wang berkenaan adalah sumbangan daripada orang ramai sebelum ini dan kami gunakan sebaiknya bagi kerja nyahcemar.

“Kami lakukan kerja ini adalah bagi kepentingan bersama, supaya kita berjaya menghalang penularan Covid-19 seterusnya menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 8:32 AM