Zuhainy Zulkiffli


KOMPLEKS Sri Aman Bayan Lepas, dekat Georgetown, diperintahkan tutup bermula hari ini sehingga 1 April ini. Keputusan bagi menutup kompleks pasar awam yang menempatkan 20 gerai jualan itu terpaksa diambil berikutan peniaga dan orang ramai ingkar terhadap peraturan ditetapkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), walaupun selepas diberikan amaran.

Ia menjadikannya sebagai pasar pertama di Pulau Pinang yang menerima arahan penutupan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, penutupan kompleks itu diharap menjadi pengajaran kepada peniaga khususnya pengunjung supaya mematuhi arahan yang diperintahkan demi kesejahteraan bersama.

Katanya, MBPP akan melakukan pemantauan berterusan selepas kompleks berkenaan beroperasi semula nanti bagi melihat kembali tahap kepatuhan terkini orang awam.

“Begitu juga kompleks dan pasar awam lain dan kini kami sedang mempertimbangkan keputusan bagi mengambil tindakan terhadap beberapa pasar termasuk pasar awam Jelutong.

“Setakat ini keputusan yang dijangka diambil ialah menghentikan operasi gerai penjaja berhampiran pasar berkenaan bermula esok,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Yew turut mengadakan tinjauan penutupan pasar berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud.

Sementara itu, Rozali berkata, sikap pengunjung yang berada terlalu lama ketika memilih barangan di pasar menyebabkan bilangan pengunjung yang menunggu giliran menjadi terlalu ramai.

Namun, tahap kepatuhan peniaga dan orang awam terhadap PKP di bawah MBSP adalah mencapai tahan 99 peratus.

“Adakalanya kita lihat sehingga 100 orang berbaris bagi menunggu giliran membeli barangan keperluan di pasar dan sudah tiba masanya sikap itu diubah terutama dalam masa kritikal ini.

“Jangan pilih barang lama-lama kerana ini bukan masa untuk bersuka ria, sikap ini perlu diubah pada masa ini,” katanya

Dalam pada masa sama Jagdeep turut memberi amaran tegas kepada peniaga dan orang ramai yang ingkar arahan PKP terutama di pasar awam.

“Jangan main-main dengan arahan ini. Daripada tahap 80 peratus, kita sudah mencapai 99 peratus namun kita mahukan 100 peratus tahap kepatuhan,” katanya.

PASAR awam di Kompleks Sri Aman, Paya Terubong diarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup operasinya setelah pengunjung yang hadir ke pasar itu gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Danial Saad
PASAR awam di Kompleks Sri Aman, Paya Terubong diarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup operasinya setelah pengunjung yang hadir ke pasar itu gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Danial Saad

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 11:48 AM