PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah memuji keberanian semua petugas barisan hadapan di semua hospital dalam memerangi Covid-19.

Titahnya, semua petugas barisan hadapan sememangnya berani dalam menjalankan tugas ketika negara berdepan dengan penularan wabak itu.

“Saya mengucapkan kesyukuran dan jutaan terima kasih kepada semua barisan hadapan yang bertugas di semua hospital.

“Anda memang berani, saya doa dan minta semua menjaga kesihatan diri sendiri supaya Covid-19 ini boleh dihapuskan dan menyelamatkan ribuan nyawa.

“Oleh itu, saya minta duduk di rumah, jaga diri dan kesihatan,” titahnya dalam satu klip video berdurasi 50 saat.

Dalam kenyataan media baru-baru ini, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut meminta umat Islam di Pahang menunaikan solat hajat setiap malam Jumaat sehingga 14 April ini untuk menyelamatkan negara daripada segala wabak dan bencana.

PETUGAS barisan hadapan bekerja keras menyekat penularan Covid-19.
PETUGAS barisan hadapan bekerja keras menyekat penularan Covid-19.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertitah, solat hajat itu diharap dapat menyekat penularan wabak Covid-19.

“Sebagai umat Islam, di saat kita dilanda musibah Covid-19 ini sangatlah penting untuk memperbanyakkan zikrullah, selawat, istighfar dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah.

“Berdoa dengan penuh sifat keikhlasan, rendah diri, sabar dan bertawakal kepada Allah.

“Dengan ini saya menyeru diri saya serta seluruh umat Islam di Pahang yang saya cintai, marilah sama-sama kita bertaubat dari segala dosa, memohon keampunan kepada Allah serta menzahirkan kebergantungan kita kepada Allah,” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 12:11 PM
    PETUGAS barisan hadapan memakai PPE untuk melakukan saringan pesakit Covid-19 di Zon Saringan Hospital Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
    PETUGAS barisan hadapan memakai PPE untuk melakukan saringan pesakit Covid-19 di Zon Saringan Hospital Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.