MOHD Rizaiman (hadapan) bersama rakan setugas menjaga kawasan bagi memastikan majlis pengebumian mangsa Covid-19 berjalan lancar di Rantau Panjang, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
MOHD Rizaiman (hadapan) bersama rakan setugas menjaga kawasan bagi memastikan majlis pengebumian mangsa Covid-19 berjalan lancar di Rantau Panjang, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
Syaherah Mustafa

“BIASANYA balik sahaja dari kerja, saya terus memeluk anak-anak, namun kini, saya perlu lebih berhati-hati menjaga jarak demi keselamatan mereka,” luah seorang petugas barisan hadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anggota polis, Koperal Mohd Rizaiman Omar, yang bertugas di Balai Polis Rantau Panjang, adalah antara individu yang pernah terbabit memastikan pengebumian jenazah mangsa Covid-19 berjalan lancar selain menjalankan tugas membuat rondaan.

Dia yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berusia lima bulan sehingga lapan tahun berkata, situasi masa kini menyebabkan masanya bersama keluarga agak terhad namun demi tugas pada masyarakat dan negara, dia terus tabah menjalankan tugas.

“Tidak mengapa, saya boleh korbankan dulu masa bersama keluarga. Yang penting dapat memastikan rakyat akur dan ikut segala perintah kerajaan. Memang tanggungjawab saya sebagai petugas barisan hadapan untuk memastikan segalanya berjalan lancar.

“Memang banyak pengalaman sepanjang 12 hari PKP dilaksanakan, saya berhadapan dengan pelbagai ragam manusia tidak kira peringkat umur yang ada masanya tidak memberi kerjasama baik. Saya dan anggota lain tidak berputus asa menerangkan kepada masyarakat pentingnya untuk kita memutuskan rantaian Covid-19 ini.

“Setiap kali pulang dari kerja saya pastikan tidak dekat dengan anak atau isteri sebaliknya terus membersihkan diri supaya saya tidak menjadi pembawa wabak tanpa disedari,” katanya yang sudah 14 tahun berkhidmat sebagai anggota polis.

Sementara itu, bagi jururawat, Tengku Mariah Tengku Omar, mengakui dia terpaksa melawan rasa takut demi memastikan setiap mereka yang datang mendapatkan rawatan bebas daripada wabak Covid-19.

“Saya bertanggungjawab mengambil membuat ujian saringan kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda wabak terbabit namun memastikan setiap prosedur operasi standars (SOP) dipatuhi.

“Bila memikirkan saya perlu menyarung pakaian lengkap Personal Protective Equipment (PPE), hanya yang pernah merasai sahaja mengetahui rasa panas dan ada masanya seperti kekurangan oksigen.

“Namun demi tugas, kami yang berada di barisan hadapan tetap memikul tanggungjawab ini dan berharap agar semua masyarakat membantu kami dengan hanya berada di rumah mengikut saranan kerajaan,” katanya yang juga mempunyai seorang cahaya mata berusia enam tahun.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 12:31 PM