Gambar fail, NSTP.
Gambar fail, NSTP.
Amirul Aiman Hamsuddin


TIGA kali amaran supaya patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberikan namun, dua lelaki termasuk warga emas tidak mengendahkannya, memaksa polis menahan mereka.

Kedua-duanya yang berusia 72 dan 54 tahun ditahan selepas melepak di pondok di Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor pada 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mereka diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor yang meronda sempena Ops Covid-19 di kawasan itu.

“Ketika meronda, anggota melihat dua lelaki sedang melepak dan memberi nasihat serta mengarahkan mereka pulang. Rondaan kemudiannya diteruskan ke tempat lain.

“Pasukan melalui lokasi itu semula dan masih melihat mereka sebelum memberi nasihat susulan. Tiga kali amaran diberikan namun mereka tetap berdegil dan tidak mahu beredar.

“Disebabkan itu kedua-duanya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (KK) dan Perkara 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu di Sabak Bernam, polis menahan tiga lelaki berusia 30-an yang cuba meloloskan diri ketika sekatan jalan raya (SJR) PKP pada 2.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mereka menaiki Perodua Myvi diminta berhenti di SJR Kampung Sapintas, namun bertindak memecut kenderaan ketika pemeriksaan.

“Polis mengejar kereta itu dan mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam Peraturan-Peraturan PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 5:15 PM