SEBAHAGIAN warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih. FOTO ihsan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.
SEBAHAGIAN warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih. FOTO ihsan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


WARGA emas, anak yatim dan asnaf antara golongan terkesan dan memerlukan bantuan ekoran penularan wabak Covid-19.

Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman berkata, pihaknya kini memerlukan bantuan kewangan bagi menampung 42 penghuni pusat berkenaan yang turut terjejas.

Menurutnya, sebelum ini kakitangan pusat jagaan yang terletak di Sungai Purun, Semenyih itu akan keluar bagi mendapatkan derma dan dana daripada orang perseorangan atau syarikat yang berminat.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tidak dapat keluar untuk mencari dana bagi membeli keperluan harian seperti barangan basah dan ubat dengan kos RM2,000 seminggu.

“Pusat jagaan ini memiliki penghuni terdiri daripada warga emas, mualaf, anak yatim dan asnaf yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai,” katanya kepada Harian Metro.

Bantuan orang ramai boleh disalurkan menerusi akaun bank CIMB Islamic 8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau hubungi 019-9777419 untuk bantuan lain.

Sementara itu, Rumah Kasih Nurul Hasanah yang menempatkan 27 anak yatim dan fakir miskin turut memerlukan bantuan orang ramai untuk meneruskan operasi harian.

Pengurusnya, Murshidah Zawawi, berkata penghuni rumah berkenaan berusia enam hingga 16 tahun masih berada bersama keluarga sejak cuti sekolah minggu lalu.

“Apabila PKP dilanjutkan, ada ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap terjejas kerana tidak dapat bekerja dan ada terpaksa mengalas perut dengan biskut saja.

“Kami akan menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan harian kepada mereka yang terjejas mengikut kemampuan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, rumah kebajikan yang sudah lapan tahun beroperasi itu bergantung sepenuhnya dana bantuan orang ramai dan berharap sumbangan diberikan dapat meringankan beban keluarga terjejas.

Mereka yang mahu menghulurkan dana kewangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 562777213969 (Rumah Kasih Nurul Hasanah) atau hubungi talian 01136711965.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 5:17 PM