MAJLIS Agama Islam Melaka. FOTO Arkib NSTP
MAJLIS Agama Islam Melaka. FOTO Arkib NSTP


MAJLIS Agama Islam Melaka (MAIM) diperuntukkan RM3.6 juta bagi membantu penduduk yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan daripada kerajaan negeri itu untuk memanfaatkan asnaf dan bukan asnaf dalam bentuk makanan, pemberian wang tunai dan barang keperluan harian.

Katanya, keputusan Mesyuarat Khas Bantuan Agihan Covid-19 baru-baru ini, bersetuju supaya MAIM menyalur Bantuan Makanan Bulanan Tambahan sebanyak RM100 untuk 8,640 fakir, miskin dan muallaf membabitkan jumlah keseluruhan RM864,000.

Turut diagihkan, Bantuan Makanan Kecemasan bagi golongan berpendapatan rendah B40 yang terputus bekalan dengan kadar minimum RM50 untuk golongan asnaf dan RM100 bagi bukan asnaf.

“Selain itu, 289 asnaf yang menjadi sukarelawan pembersihan namun tidak dapat bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibantu membabitkan RM75,140.

“Sementara itu, kerajaan negeri turut menyumbang kipas berdiri, cecair pembasmi kuman, vitamin C kepada petugas barisan hadapan selain makanan di tiga hospital iaitu Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah,” katanya.

Sulaiman berkata, bantuan makanan juga disediakan di Pusat Kuarantin Covid-19 di Alor Gajah selain Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Menurutnya, MAIM mengambil inisiatif membuat pembayaran lebih awal bagi Bantuan Makanan Bulanan (BMB) pada April supaya penerima dapat manfaat awal.

“Bantuan Bulanan Bank (BBB) bagi Mac juga sudah dikreditkan pada 15 Mac lalu yang membabitkan nilai RM833,520, diikuti Bantuan Tunai Bulanan (BTB) untuk 653 penerima dalam kalangan fakir, miskin dan muallaf yang dikreditkan pada 23 hingga 27 Mac lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:08 PM