X
TANGKAPAN dibuat di kawasan taman permainan di Damansara Damai, Petaling Jaya, semalam.FOTO Ihsan PDRM
TANGKAPAN dibuat di kawasan taman permainan di Damansara Damai, Petaling Jaya, semalam.FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 16 individu ditahan di sekitar daerah ini selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 10 tangkapan Operasi Covid-19 (Op Covid-19) dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 44 tahun yang ditahan ketika sedang makan di sebuah restoran di Bandar Sri Damansara pada jam 10 pagi, semalam.

“Tangkapan kedua pula membabitkan dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga India yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berusia antara 35 hingga 43 tahun selepas gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakan mereka di Kilometer 0.3, Lebuhraya Sprint Damansara menghala ke Plaza Tol Kayu Ara Damansara pada jam 11.40 pagi, semalam.

“Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun sedang berjalan di Jalan PJU 8/5B, Damansara Perdana yang tidak mengendahkan amaran diberikan pihak polis supaya pulang ke rumah,” katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun yang sedang berjoging di Jalan BU 2/5, Bandar Utama serta dua lelaki tempatan masing-masing berusia 31 dan 34 tahun yang bermain bola keranjang di taman permainan di Jalan BU 2/6, Bandar Utama, semalam.

“Bagi tangkapan ketujuh, kami menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga penjaga kaunter di sebuah pusat hiburan yang masih beroperasi di Jalan PJS 1/52 manakala tangkapan kelapan membabitkan dua lelaki warga India masing-masing berusia 28 dan 39 tahun yang sedang minum minuman keras di kawasan taman permainan di Damansara Damai, semalam.

“Tangkapan kesembilan pula membabitkan empat warga Nigeria berusia antara 30 hingga 36 tahun yang gagal memberikan alasan munasabah ketika diperiksa dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Buloh susur keluar Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), awal pagi tadi.

“Selain itu, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang berlegar di sebuah stesen minyak di Jalan Kenanga, Kampung Kayu Ara Damansara pada jam 4.30 pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, semua individu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kami menggesa orang ramai supaya patuh kepada PKP dan tidak mengambil remeh arahan supaya tidak keluar rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 7:52 PM