X
OSMAN. FOTO Arkib NSTP
OSMAN. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melanjutkan penangguhan aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Osman Muda berkata, ia termasuk solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti lain yang ditangguhkan sehingga 14 April depan.

Katanya, penangguhan berkenaan selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menjunjung titah perintah dan perkenan Sultan Mizan, saya dengan ini mengumumkan penangguhan semua aktiviti keagamaan sama ada solat jumaat, solat fardu (berjemaah) dan aktiviti lain di semua masjid dan surau di negeri ini sehingga 14 April depan.

“Fatwa isu Covid-19 yang berkaitan aktiviti keagamaan di negeri ini dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 17 Mac lalu dirujuk,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Osman berkata, Sultan Mizan berharap semua rakyat dapat bersabar dalam menghadapi ujian ini dan baginda berdoa semoga wabak Covid-19 akan berakhir dengan segera.

“Baginda juga mendoakan semua rakyat di negeri ini sentiasa dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 9:00 PM