EMPAT lelaki ditahan kerana tidak mematuhi PKP di Labuan. FOTO Juwan Riduan
EMPAT lelaki ditahan kerana tidak mematuhi PKP di Labuan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


POLIS menahan empat lelaki selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Kampung Bebuloh di Labuan, semalam.

Dalam kejadian 11.20 malam itu, keempat-empat lelaki berusia lingkungan 20-an mengaku baru pulang dari rumah rakan mereka selepas selesai menangkap ketam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, keempat-empat lelaki itu keluar dari rumah mereka di Taman Kian Yap, Labuan untuk mencari ketam, kira-kira 6 petang.

Katanya, sebaik selesai menangkap ketam 10.30 malam, mereka keluar dari kampung berkenaan dan menuju ke rumah rakan yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan pulang, mereka terserempak dengan sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas operasi PKP di kawasan berkenaan.

“Keempat-empat lelaki itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid, keempat-empat lelaki itu mengakui arahan pematuhan PKP, namun masih meneruskan hasrat untuk keluar bersama-sama mencari ketam di situ.

“Pergerakan mereka juga sudah dirancang awal dengan niat untuk menangkap ketam bagi keperluan harian mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan / Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Katanya, semua lelaki itu direman hari ini dan jika sabit kesalahan boleh menerima hukuman dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 10:25 PM