Van yang membawa jenazah doktor dan bayinya sampai di perkarangan rumah di Jalan Sekolah Cina, di sini, jam 8.35 malam.IHSAN POLIS
Van yang membawa jenazah doktor dan bayinya sampai di perkarangan rumah di Jalan Sekolah Cina, di sini, jam 8.35 malam.IHSAN POLIS
Syaherah Mustafa


JENAZAH doktor dan bayinya yang berusia sembilan bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, 9.55 malam tadi.

Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dan bayinya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang, pagi hari ini.

Jasad dua beranak terbabit dibawa menaiki van jenazah dengan diiringi kenderaan polis pada 8.35 malam di kediaman mangsa di Jalan Sekolah Cina, Rantau Panjang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan 9.20 malam. Seramai 20 ahli keluarga terdekat sahaja hadir disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Usaha wartawan NSTP menghubungi suami arwah juga gagal.

Terdahulu, dalam kejadian 9.50 pagi tadi, mangsa yang bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai bersama anaknya berusia sembilan bulan maut selepas van Jabatan Kesihatan yang mereka naiki terbabas, manakala tujuh individu lain cedera.

Tujuh individu yang cedera iaitu Mohd Lazim Abdullah, 56; Dr Siti Salwa Mohamad Shokri; 38, Syahirah Muhamad Razali, 20; Dr Norazma Mohamad, 34; Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29; Dr Suzuanhafizan Omar, 32 dan Dr Hazirah Sazali, 33, cedera.

Semua petugas hospital menaiki van Kesihatan Hospital Kuala Krai untuk ke Hospital Gua Musang bagi menjalankan tugas berkaitan rawatan koronavirus baharu (Covid-19).

Berita berkaitan

Doktor, bayi lelaki maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 11:47 PM