X
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 47 lokasi di enam negeri yang diklasifikasi sebagai zon merah dan jingga menjalani proses sanitasi awam secara serentak pada hari ini dan esok bagi mengurangkan penularan Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan menerima 100,000 liter cecair kimia sumbangan daripada program tanggungjawan sosial (CSR) untuk melakukan sanitasi awam di seluruh negara.

“Pemilihan 47 lokasi berkenaan membabitkan 23 zon merah dan 24 zon jingga adalah berdasarkan indikasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut kadar kes dilaporkan di kawasan berkenaan.

“Proses ini dilakukan membabitkan beberapa pihak iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Alam Flora, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan KKM,” katanya ketika ditemui pada Program Sanitasi Awam di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam program itu, 40 anggota bomba, 27 kakitangan Alam Flora, tujuh anggota Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), enam anggota polis, tujuh anggota RELA dan tiga kakitangan KKM terbabit.

Zuraida berkata, perlaksanaan sanitasi awam di lokasi berkenaan bagi menjadikan kawasan terbabit selamat sekali gus memberikan keyakinan kepada orang awam mengenai tahap keselamatan pengunjung dan peniaga.

PETUGAS Alam Flora menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi ketika Operasi Pembersihan Disinfeksi di Bukit Damansara. FOTO Bernama
PETUGAS Alam Flora menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi ketika Operasi Pembersihan Disinfeksi di Bukit Damansara. FOTO Bernama

“Saya difahamkan semburan bahan kimia itu membolehkan kuman serta virus Covid-19 dibasmi dalam tempoh lima minit di kawasan itu.

“Malah, bahan kimia dalam semburan itu juga sudah diluluskan oleh KKM untuk diguna pakai dan diyakini tidak mendatangkan implikasi buruk kepada manusia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, 511 anggota terdiri daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dan pasukan bantuan bomba terbabit dalam program sanitasi awam di semua lokasi berkenaan.

“Pihak bomba akan melakukan proses sanitasi di dalam kawasan bangunan, manakala kawasan luar bangunan dilakukan oleh syarikat konsesi dilantik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

“Dari segi kelengkapan pula, pihak bomba turut menyediakan beberapa jentera bagi kegunaan ketika menjalankan proses berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 12:00 PM