X
BARANGAN keperluan harian yang bakal diagihkan kepada penduduk terjejas akibat PKP bagi DUN Sungai Udang, hari ini. FOTO Amir Mamat
BARANGAN keperluan harian yang bakal diagihkan kepada penduduk terjejas akibat PKP bagi DUN Sungai Udang, hari ini. FOTO Amir Mamat


SEMUA pihak yang melaksanakan program penyerahan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diingatkan supaya sentiasa patuh dengan arahan pihak berkuasa.

Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha sukarela dan kebajikan tidak tercemar dengan sikap mementingkan diri sendiri.

“Saya sudah maklumkan kepada semua penyelaras pengagihan bantuan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya sentiasa patuh dengan garis panduan dan arahan daripada kerajaan, terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Amat malang sekali jika niat kita baik tetapi kaedah penyampaian bantuan itu melanggar peraturan sekali gus menjadi penyebab tersebarnya wabak Covid-19, ini saya tidak mahu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang ditemui selepas mengagihkan sumbangan Kit Bantuan Makanan Covid-19 bagi DUN berkenaan di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dan Pembangunan DUN (Japerun) Sungai Udang, di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, setiap penyelaras pengagihan bantuan di negeri itu diingatkan supaya membantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Tambahnya, agihan yang sistematik akan membolehkan bantuan dapat diberikan kepada golongan yang sangat memerlukan.

“Saya sudah arahkan semua pihak supaya mengagihkan bantuan dengan sistematik tanpa ada pertindihan nama bagi membolehkan masyarakat dapat bantuan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 1:18 PM