DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan perutusan khas secara langsung. FOTO IHSAN Pejabat Menteri Besar Perak
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan perutusan khas secara langsung. FOTO IHSAN Pejabat Menteri Besar Perak
Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN negeri Perak tetap berfungsi kerana Menteri Besar akan mengetuai operasi pentadbiran walaupun lantikan Exco belum dibuat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Kerajaan Negeri Perak, tiada tempoh tertentu untuk melantik barisan Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, pelantikan Exco yang baharu terpaksa ditangguhkan sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebetulan pula, penularan wabak Covid-19 ini berlaku pada ketika negara dan negeri ini sedang berdepan dengan peralihan pentadbiran kerajaan.

“Alhamdulillah, keadaan politik negeri kembali tenang dan pelantikan Exco yang dirancang ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP selepas lima hari saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas secara langsung di PerakFM di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas cubaan pihak tertentu yang menimbulkan tanggapan bahawa negeri ini masih tidak mempunyai kerajaan.

Katanya, sebaik arahan PKP ditarik balik oleh kerajaan, maka proses lantikan Exco baharu akan dibuat.

“Di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri, tiada tempoh tertentu untuk melantik barisan Exco.

“Ketika ini, tumpuan utama adalah bagi memastikan kemenangan melawan penularan wabak merbahaya ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 4:48 PM