GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN


LELAKI bergelut dengan polis dalam usaha meloloskan diri ketika cuba ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Yahaya Ahmad, Dungun, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 39 tahun ditahan pada 5.30 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian, suspek dikatakan menumpang kereta rakannya dari Kampung Tok Kah ke Bandar Dungun.

“Ketika ditahan, rakan suspek mengemukakan surat atau permit bekerja di bawah Perintah Kawalan Pergerakan PKP, bagaimana suspek gagal menunjukkan sebarang surat serta gagal memberi alasan yang munasabah.

“Suspek kelihatan dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota polis membuat pemeriksaan badan, suspek meronta dan cuba melepaskan diri,” katanya.

Baharudin berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

“Suspek yang berasal dari Kelantan itu mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau, namun hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 4:52 PM