DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO FarizuL Hafiz Awan
DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO FarizuL Hafiz Awan


KERAJAAN Pahang mengumumkan lima lagi inisiatif membabitkan peruntukan berjumlah RM4.258 juta dalam usaha membantu rakyat di negeri ini yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu membabitkan 21,000 individu dari 42 Dewan Negeri (DN) Pahang yang akan menerima wang tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 dengan peruntukan RM3.15 juta.

Katanya, bantuan tunai RM300 seorang diberikan kepada 80 penghulu manakala RM200 seorang kepada 542 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dengan jumlah keseluruhan RM132,400.

“Selain itu, kerajaan negeri juga meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 DN Pahang untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan berjumlah RM304,500.

“Bantuan ‘one-off’ iaitu sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 diberikan kepada 1,500 penduduk miskin tegar di negeri ini dengan peruntukan RM75,000.

“Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 turut dinikmati 3,975 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 23 Mac lalu, lapan inisiatif diperkenalkan Kerajaan Pahang untuk membantu golongan yang terkesan secara langsung dan terputus sumber bekalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membabitkan nilai peruntukan RM14.99 juta.

Wan Rosdy berkata, setakat ini, nilai keseluruhan 13 inisiatif termasuk lima yang diumumkan semalam ialah RM19.248 juta.

“Semoga dengan bantuan khas ini, ia dapat saling melengkapi kepada usaha Kerajaan Persekutuan meringankan beban rakyat dalam tempoh PKP menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 4:56 PM