POLIS dan tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Kuching dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
POLIS dan tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Kuching dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 67 individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan di Sarawak dalam operasi yang dilaksanakan 8 pagi semalam hingga 8 pagi ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan kerana melanggar PKP di negeri ini sejak Khamis lalu meningkat kepada 229 orang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, mereka ditangkap kerana tidak dapat memberi alasan yang sah untuk berada di jalan raya atau tempat awam.

Beliau berkata, Sibu mencatat jumlah tertinggi dengan 14 orang diikuti Miri (12 orang), Kota Samarahan (12), Bintulu (7), Padawan (6), Kuching (5), Lawas (4), Saratok (3), Betong (2), Serian (1) dan Marudi (1).

“Daripada 67 yang ditangkap, 65 adalah lelaki manakala dua lagi ialah wanita dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Beliau berkata, sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua 67 yang ditahan dalam tempoh 24 jam sejak pagi semalam sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapan dirakam dan menunggu untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 5:14 PM