ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa terkena tembakan. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa terkena tembakan. FOTO ihsan polis
Erika George


LELAKI maut manakala rakannya cedera selepas terkena peluru sesat ketika memburu babi hutan di hutan Hulu Selentang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, mangsa dikenali Ricky Dom, 43, disahkan maut di lokasi kejadian akibat terkena tembakan di kepala.

Katanya, seorang lagi mangsa adalah remaja lelaki berusia 14 tahun yang cedera di bahu kanan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu.

Bagaimanapun katanya, insiden itu hanya dilaporkan oleh bapa tiri mangsa di Balai Polis Kapit pada jam 7.42 malam, kelmarin.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, bapa tiri mangsa bersama dua lagi rakannya turut bersama mangsa memburu di hutan sama.

“Maklumat awal mendapati bapa tiri mangsa dan dua lagi rakannya menunggu di tepi jalan, manakala mangsa dan remaja terbabit masuk ke dalam hutan,” katanya.

Menurutnya, rancangan awal mereka ialah bapa tiri mangsa dan dua lagi rakan mereka hanya masuk ke dalam hutan sekiranya terdengar bunyi tembakan.

“Tidak lama selepas itu, bapa tiri mangsa dan rakannya terdengar tembakan. Mereka terus melakukan pemeriksaan dan terkejut melihat rakan memburu mereka yang terkena tembakan itu,” katanya.

Setakat ini katanya, belum dapat dipastikan siapa yang sebenarnya melepaskan tembakan dan siasatan terperinci akan dijalankan.

Beliau berkata, selaras senapang patah berserta sebutir kelongsong milik mangsa dirampas.

“Polis sedang menjalankan siasatan rapi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Senjata 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 5:57 PM