X
DUA lelaki warga Indonesia ditahan ketika berkumpul di taman permainan berhampiran Pangsapuri Sri Menanti, Persiaran Sri Menanti PJU 9 Bandar Sri Damansara, semalam. FOTO Ihsan PDRM
DUA lelaki warga Indonesia ditahan ketika berkumpul di taman permainan berhampiran Pangsapuri Sri Menanti, Persiaran Sri Menanti PJU 9 Bandar Sri Damansara, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT remaja bawah umur antara 13 individu yang ditahan dalam Operasi Covid-19 (Op Covid-19) di sekitar Petaling Jaya bagi tempoh 24 jam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama serta kedua membabitkan dua lelaki masing-masing berusia 52 dan 57 tahun yang gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan di Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam, semalam.

“Bagi tangkapan ketiga pula, kami menahan dua lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 31 hingga 36 tahun berkumpul di taman permainan berhampiran Pangsapuri Sri Menanti, Persiaran Sri Menanti PJU 9 Bandar Sri Damansara, semalam.

“Kami turut menahan empat individu termasuk tiga remaja lelaki bawah umur berusia antara 15 hingga 24 tahun yang tidak mengendahkan arahan beredar di tepi jalan Masjid Kayu Ara Damansara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 22 hingga 23 tahun kerana gagal memberi alasan munasabah pada sekatan jalan raya di Plaza Tol Subang menghala keluar dari daerah ini dalam tangkapan keenam, semalam.

“Tangkapan ketujuh pula membabitkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang sedang melepak di kawasan bawah sebuah blok di Desa Mentari kerana keluar tanpa alasan munasabah, hari ini.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Katanya, orang ramai digesa supaya patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak mengambil remeh mengenai perkara ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:02 PM