X
POLIS menahan lima lelaki yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Ihsan Polis
POLIS menahan lima lelaki yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


TINDAKAN lima lelaki yang leka melepak sambil dipercayai minum air ketum mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Sungai Badak, Jalan Ulu Dedap di Kampung Gajah, Seri Iskandar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, dalam operasi pada 1.15 petang itu, pihak berkuasa turut merampas sebuah tong ais dan 17 botol air ketum.

Menurutnya, ketika ditahan lima individu berusia antara 23 hingga 50 tahun itu sedang minum serta melepak tanpa tujuan dan gagal memberikan alasan yang munasabah.

“Pemeriksaan lanjut di pondok berkenaan menjumpai sebuah tong ais besar yang dalamnya mengandungi 17 botol minuman berisi cecair berwarna hijau disyaki air ketum.

“Lelaki berusia 50 tahun mengaku tong ais berisi 17 botol minuman itu adalah miliknya dan untuk dijual kepada pelanggan.

“Semua individu terbabit juga dipercayai sudah sejam berada di lokasi berkenaan dan hasil semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Barudin berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk tiga warga Myanmar yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, empat individu yang berusia antara 41 hingga 53 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di RPA Changkat Sodang, Seri Iskandar, 3.40 petang hari ini.

“Empat individu berkenaan menaiki sebuah teksi dan seorang lelaki warga tempatan mendakwa dia bersama tiga warga Myanmar terbabit datang dari Ipoh untuk mengambil bantuan makanan di RPA Changkat Sodang,” katanya.

Beliau berkata, semua individu terbabit ditahan untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 9:09 PM