X
IR Kamaruddin (kiri) menyerahkan sumbangan kepada kakitangan Pejabat Kesihatan Klang. FOTO Ihsan Yayasan Ikhlas.
IR Kamaruddin (kiri) menyerahkan sumbangan kepada kakitangan Pejabat Kesihatan Klang. FOTO Ihsan Yayasan Ikhlas.


YAYASAN Ikhlas mengagihkan sumbangan peralatan dan keperluan kepada hospital, Pejabat Kesihatan dan penduduk yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjumlah RM50,000.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Kamaruddin Kassim berkata, sumbangan hasil daripada tabung Covid-19 yang dilancarkan sejak 20 Mac lalu.

Menurutnya, setakat hari ini, tabung berkenaan sudah menerima RM70,000 hasil sumbangan orang ramai dan syarikat korporat

“Melalui tabung itu, sumbangan disalurkan kepada petugas barisan hadapan termasuk penutup mulut dan hidung, sarung tangan, cecair pembasmi kuman, sabun pencuci, apron pakai buang, termometer dan sumbangan makanan.

“Setakat ini, Hospital Shah Alam (HSA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ, Kuala Terengganu, Pejabat Kesihatan Sepang, Klang dan Hulu Langat sudah menerima barangan disalurkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya turut mengagih sumbangan barangan keperluan kepada golongan B40 yang terjejas sepanjang PKP seperti beras, tepung, telur, gula, garam, minyak masak, biskut dan mi segera.

“Hari ini, kita sudah mula bahagikan sumbangan kepada penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bangi, Subang, Shah Alam dan penduduk di Jalan Kebun, Klang serta 146 penduduk di Pantai Dalam.

“Pembahagian terpaksa ditetapkan kepada 35 penduduk sehari atas nasihat polis dan kita meminta penduduk supaya bersabar, “katanya.

Kamaruddin berkata, pembahagian itu membabitkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Kementerian Kesihatan Malaysia KKM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pihak kami sasarkan untuk membantu 30 lagi pusat kesihatan dan berhasrat membantu 50,000 keluarga terjejas seluruh negara sepanjang tempoh PKP.

“Kita menjangkakan jumlah keseluruhan dana yang diperlukan berjumlah sekitar RM1 juta.

“Kita menyeru orang ramai dan syarikat korporat yang lain terus menyalurkan sumbangan kepada tabung Yayasan Ikhlas kerana setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut bolehlah melayari laman sesawang www.yayasanikhlas.org.my

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 9:09 PM