X
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SERAMAI 171 individu ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perak bermula 18 Mac lalu sehingga hari ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Razarudin Husain berkata, dari jumlah itu, sebanyak 85 kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 untuk tindakan.

Katanya, pihaknya juga melakukan siasatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Seramai 5,640 petugas melakukan pemeriksaan di lebih 74 sekatan jalan raya meliputi kawasan sempadan negeri dan susur keluar masuk plaza tol setiap hari.

“Ia turut meliputi 230 pasukan pemeriksaan mengejut (snap check) yang ditugaskan membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu kenderaan yang tiada alasan munasabah akan diarahkan berpatah balik bagi memastikan tiada pergerakan berlaku.

“Masyarakat dinasihatkan mematuhi PKP dan mengamalkan langkah pencegahan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Polis juga akan memastikan masyarakat mengamalkan penjarakan sosial ketika berurusan di tempat awam seperti di pasar dan institusi-institusi kewangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 10:12 PM