Affendi. FOTO Arkib NSTP
Affendi. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TAHAP pematuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang semakin meningkat mampu memutuskan rantaian penyebaran koronavirus baharu (Covid-19) lebih cepat.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), masyarakat semakin sedar kepentingan terus berada di rumah dan tidak melakukan aktiviti di luar.

Menurutnya, kini sebanyak 1,520 sekatan jalan raya dilakukan bersama manakala sekatan di plaza tol juga akan ditingkatkan kepada 114 sekatan bagi PKP fasa dua.

“Laporan daripada PDRM menunjukkan tahap dari pematuhan meningkat kepada 95 peratus sehingga kini

“Saya percaya operasi ini (sekatan jalan raya) dapat menghasilkan satu keputusan yang baik kerana ia bertujuan menghapuskan penyebaran Covid-19,” katanya ketika ditemu bual dalam Program Reaksi Rakyat di Astro Prima, malam ini.

Dalam pada itu, Affendi sekali lagi menafikan kehadiran ATM dalam sekatan jalan raya adalah untuk mengambil alih tugas PDRM.

Menurutnya, kehadiran ATM untuk menjalankan tugas sekunder demi memastikan keamanan negara terus terjamin.

“Ada kekeliruan ketika ATM mengatur gerak anggota dan aset pada awalnya sehingga berlaku kekeliruan dan anggapan tidak benar dalam kalangan masyarakat.

“Penjelasan sudah diberikan dari semasa ke semasa dan masyarakat kini sudah faham tugas dan peranan ATM yang membantu PDRM dalam sekatan jalan raya dan rondaan bersama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 11:10 PM