X
ANTARA komponen dan rangka motosikal yang dirampas dalam serbuan di Gombak, kelmarin. FOTO Ihsan Polis
ANTARA komponen dan rangka motosikal yang dirampas dalam serbuan di Gombak, kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


KEGIATAN licik sekumpulan individu membuang rangka motosikal dicuri di tebing sungai, Batu 10, Jalan Lama Gombak, terbongkar selepas mereka ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik sebuah bengkel di Batu 7 Gombak, memaklumkan premis itu dipecah masuk, kelmarin.

“Mangsa berusia 26 tahun memaklumkan dia menyedari bengkelnya dipecah masuk selepas terdapat kesan umpil pada pintu hadapan premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati beberapa peralatan motosikal pelbagai jenis di dalam premis berkenaan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya membuat serbuan di Jalan Kunci Air Batu 6 Simpang 3, di sini, jam 2.45 petang, hari sama.

“Hasil serbuan itu, kami menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 26 tahun bersama beberapa barangan dicuri dari bengkel berkenaan.

“Kami juga berjaya menemui stor simpanan barangan curi kumpulan berkenaan di Rumah Panjang Sungai Kertas Batu Caves selepas dipandu arah oleh suspek ke lokasi terbabit.

“Suspek juga menunjukkan tempat mereka membuang rangka motosikal yang dicuri iaitu di tebing sungai Batu 10, Jalan Lama Gombak,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas dua motosikal Yamaha 15ZR dan satu rangka motosikal bersama komponen dileraikan serta pelbagai barangan bengkel disyaki barang curi.

“Semua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 3 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Akta Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 11:26 PM