Amir Abd Hamid


MASIH ada yang berdegil dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa penduduk ingkar terpaksa diarah pihak berkuasa supaya tidak keluar masuk di menara berkenaan.

Sehingga 12.15 tengah hari tadi, kawalan ketat dilakukan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di persekitaran bangunan yang terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah Semua House ini, bermula lewat petang semalam.


Tinjauan mendapati kakitangan KKM juga didapati berulang-kali memberikan peringatan kepada penduduk supaya tidak keluar dari unit kediaman mereka menggunakan pembesar suara.

Buat masa ini, proses menyelaras penduduk yang akan disaring sedang dilakukan selain pengaturan laluan penduduk ke kawasan lapang oleh pihak polis dan tentera.

Dijangka, ribuan penghuni kediaman berkenaan akan diarahkan menjalani proses nyah cemar serta pembersihan seluruh badan petang ini.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, arahan PKPD itu susulan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan pengesahan 17 kes positif Covid-19 di menara terbabit.

Lokasi itu yang juga arahan ketiga PKPD di negara ini, mempunyai 3,200 penghuni di 502 unit kondominium serta premis perniagaan di menara terbabit.

Menara City One terletak bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu kota.

ANGGOTA Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengarahkan penghuni bangunan untuk masuk semula ke kediaman masing-masing ketika mengawal pergerakan masuk dan keluar di Menara City One selepas bangunan tersebut menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Bernama
ANGGOTA Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengarahkan penghuni bangunan untuk masuk semula ke kediaman masing-masing ketika mengawal pergerakan masuk dan keluar di Menara City One selepas bangunan tersebut menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Bernama

Berita berkaitan:

  • 3,200 penghuni Menara City One diarah 'berkurung' [METROTV]
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 12:36 PM