X
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


WALAUPUN banyak peringatan dikeluarkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepasang kekasih seakan-akan mencabar pihak berkuasa apabila memadu kasih di kawasan pantai Kuala Kemaman, Chukai, kelmarin.

Kehadiran lelaki berusia 22 tahun bersama kekasihnya berusia 23 tahun di kawasan berkenaan disedari anggota penguat kuasa khas Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman yang sedang melakukan pemantauan pada 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pasangan terbabit yang ketika itu berada di atas sebuah motosikal cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota.

“Cubaan mereka melarikan diri gagal dan ketika ditanya, mereka mengakui tahu mengenai larangan berada di luar sepanjang PKP namun gagal mengemukakan alasan munasabah mengenai kehadiran mereka di tempat kejadian.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Kita turut menahan lapan lelaki berusia antara 20 hingga 42 tahun pada hari sama kerana gagal mengemukakan alasan munasabah ketika berada di kawasan Pantai Penunjuk Kijal, di simpang empat lampu isyarat Jalan Kemasik-Kuala Terengganu, di kawasan Geliga dan Pantai Teluk Mak Nik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 1:20 PM