HASLINDA menerima sumbangan daripada Julasapiyah dan di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
HASLINDA menerima sumbangan daripada Julasapiyah dan di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar


SEORANG kakak yang mengabdikan diri menjaga adik lelakinya yang terlantar sakit sejak kecil, hilang punca pendapatan selepas 10 pelajarnya tidak dapat menghadiri kelas tuisyen akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP).

Disebabkan itu, Haslinda Mohamad, 42, yang tinggal di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah terpaksa bergantung kepada elaun diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan untuk memastikan bekalan makanan tidak terputus.

“Arwah ibu, Safiyah Buyut pergi meninggalkan kami pada tahun 2000 dan arwah ayah, Mohamad Aziz meminta saya balik kampung untuk menjaga adik pada 2005 sebelum dia (ayah) meninggal pada 2013.

“Sejak 2005 saya menjaga adik, Fairuz Affendi, 35 tahun yang bukan setakat sindrom down, malah tidak boleh bergerak akibat demam panas sejak kecil dan hingga sekarang kami berdua bergantung kepada bantuan JKM,” katanya.

Haslinda berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Masjid Al Hasaniah di kampung itu, Julasapiyah Kassim dan ahli jawatankuasa masjid, Md Kassim Ismail yang menyampaikan sumbangan bahan makanan hasil tabung khairat masjid di rumahnya, hari ini.

PENGURUSAN Masjid Al Hasaniah menziarahi Fairuz Affendi yang terlantar. FOTO Hassan Omar
PENGURUSAN Masjid Al Hasaniah menziarahi Fairuz Affendi yang terlantar. FOTO Hassan Omar

Menurutnya, dia memperoleh RM300 sebulan dengan mengajar subjek Matematik, Matematik Tambahan dan Akaun bagi menampung perbelanjaan mereka berdua namun ia hilang selepas PKP dikuatkuasakan.

“Saya tetap bersabar dan reda menjalani ujian ini dan sentiasa berdoa agar Allah murahkan rezeki kami berdua. Saya juga harap, Covid-19 segera berakhir,” katanya.

Sementara itu, Julasapiyah berkata, masjid berkenaan membelanjakan wang tabung khairat tanpa menggunakan wang daripada tabung dikhaskan untuk wakaf masjid, anak yatim dan seumpamanya bagi membantu anak kariah yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya, sebanyak 120 bungkusan berisi beras lima kilogram, tepung, minyak masak, gula dan seumpamanya disumbangkan kepada asnaf dan mereka yang terputus bekalan makanan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:48 PM