ROKOK seludup
ROKOK seludup
Muhaamad Hafis Nawawi


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebuah kontena mengandungi rokok putih dengan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM3 juta, semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, JKDM berkata, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) mematahkan cubaan menyeludup rokok putih yang juga dagangan larangan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Menurutnya, semakan K4 (Manifes Import) mendapati kontena itu diikrar sebagai alas lantai dan tuala bagi mengelakkan daripada dikesan oleh JKDM.

“Jumlah anggaran rampasan adalah sebanyak 4.6 juta batang membabitkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM370,000 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM3 juta.

“Pengimport dan ejen kastam yang terbabit dalam cubaan seludup ini sedang disiasat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

“JKDM juga menyarankan kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:51 PM