PEMAIN bola sepak Kuala Lumpur antara 19 individu yang didenda RM900 oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini, selepas didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 27 Mac lalu.

Tertuduh, Abdul Azim Rahim, 23, dan tiga rakannya membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berkumpul di hadapan Jalan Felda Bukit Bulat, Alor Gajah tanpa sebab yang munasabah sekitar jam 7.05 malam pada 27 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat di luar ketika wabak Covid-19 semakin menular.

Abdul Azim yang memakai kemeja-t hitam dan penutup mulut, tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan menanggung orang tua yang tidak sihat selain dua adik yang masih belajar.

Ahmad Sazali sebelum menjatuhkan hukuman itu dengan tegas berkata, sepatutnya tiada siapa yang perlu berada di mahkamah ini sekiranya semua orang dapat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan mematuhi arahan yang diberikan kerajaan.

“Jadi, kalau kamu tidak memberikan kerjasama, polis terpaksa bertindak dan kamu terpaksa berada di sini, dari hari pertama PKP dilaksanakan kerajaan sudah memberi amaran awal tapi kamu degil.

“Saya ‘panas’ bila ada laporan di media masih ada orang berada di jalanan, bermain bola, berbasikal sekeliling taman seolah-olah tidak mengambil berat dengan keseriusan keadaan sekarang ini,” katanya.

Selain mereka, empat warga asing yang ditahan dalam Op Covid-19 di sekitar daerah ini turut disabitkan atas kesalahan sama dan mahkamah mengarahkan semua tertuduh berusia 20 hingga 30 tahun itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan lapan remaja berusia 15 hingga 17 tahun yang ditahan di bawah seksyen sama dikenakan bayaran jaminan RM1,000 setiap seorang selain menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Mei depan.

SEBAHAGIAN individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SEBAHAGIAN individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Iqmal Haqim Rosman

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:51 PM