GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Zatul Iffah Zolkiply


SISTEM penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya akan dilaksanakan polis Terengganu mulai esok bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, langkah itu diambil bagi memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ke-2 bermula esok.

Beliau berkata, pelaksanaannya dijangka dapat mengurangkan 50 peratus jumlah kenderaan di atas jalan raya termasuk motosikal.

Katanya, hanya kenderaan perkhidmatan penting serta mempunyai bukti dari jabatan atau syarikat mereka bertugas dibenarkan berada di atas jalan raya.

“Bagi kenderaan persendirian pula, kita memperkenalkan Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan berkuat kuasa esok sehingga 14 April ini.

“Angka terakhir nombor pendaftaran akan dijadikan panduan sama ada nombor ganjil atau nombor genap.

“Hanya kenderaan persendirian dengan angka nombor ganjil sahaja dibenarkan untuk bergerak bagi sebarang urusan esok.

“Bagi kenderaan dengan nombor pendaftaran genap, ia dibenarkan bergerak keesokannya iaitu Khamis secara giliran sehingga 14 April,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Roslee berkata, jika ada kenderaan persendirian yang tidak dibenarkan bergerak melalui mana-mana sekatan, pihaknya mengarahkan pemandunya kembali ke rumah masing-masing.

Katanya, pendekatan itu terpaksa dilaksanakan bagi mengehadkan jumlah kenderaan yang masih tinggi di atas jalan raya seolah-olah tidak menghiraukan PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 3:02 PM