FOTO Saifullizan Tamadi
FOTO Saifullizan Tamadi
Mohamed Farid Noh


SOLAT Jumaat, solat berjemaah lima waktu dan semua aktiviti di masjid, surau atau musolla di Johor ini ditangguhkan sehingga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 14 April ini.

Pada kenyataan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hari ini, penangguhan berkenaan juga mengikut apa-apa ketetapan diputuskan Kerajaan Pusat dari semasa ke semasa.

Penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu dan semua aktiviti di masjid, surau atau musolla di negeri ini ini diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengikut peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Sepanjang tempoh yang dinyatakan, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya di seluruh masjid dan mussola negeri ini hendaklah ditangguhkan.

“Demikian juga arahan ini berkuatkuasa terhadap segala aktiviti kemasyarakatan yang lazimnya dilaksanakan dalam premis berkenaan seperti kursus, majlis keraian, pengurusan jenazah dan seumpamanya,” katanya.

Menurut kenyataan, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid, surau dan mussola seperti ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid di negeri ini selain rakyat Johor hendaklah mematuhi arahan ini.

“Marilah kita bersatu hati, merafakkan doa semoga wabak Covid-19 ini segera berakhir dan kita semua beroleh perlindungan Allah SWT, ” katanya.

Kenyataan berkenaan ditandatangani Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Mohd Noh Ibrahim.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 4:19 PM