X
SEKITAR sekatan PKP.
SEKITAR sekatan PKP.
Mohd Amin Jalil


HUKUMAN ini diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang dalam usaha membendung pandemik Covid-19 yang semakin serius.

Itu kata dua Majistret Tan Chai Wei selepas menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun di Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keempat-empat tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Semua tertuduh diarah menjalani hukuman penjara selama sebulan bermula tarikh mereka ditahan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh ditahan secara berkumpulan pada 27 Mac di kawasan berhampiran pekan Rembau.

Mereka didakwa melanggar sekatan jalan raya dilakukan polis dan didapati bergerak secara berkumpulan dengan menunggang motosikal tanpa tujuan dalam kawasan penularan Covid-19 ketika PKP dikuatkuasakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 7, Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 5:18 PM