Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor mengesahkan mengenai kehadiran seekor gajah jantan susulan kelibatnya tular di laman sosial dalam kejadian di Kampung Lukut.

Pengarah PERHILITAN Salman Saaban berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menerima sebarang aduan rasmi sehingga kini.

Katanya, menurut wakil penduduk yang dihubungi, kejadian itu dirakam seorang penduduk kampung pada Sabtu lalu.

“Gajah sama sekali lagi memasuki kawasan kampung malam tadi di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) Kampung Lukut,” katanya hari ini.

Menurut beliau, gajah terbabit kali terakhir dikesan menghala ke arah Ladang LGM Permatang atau Hutan Simpan Panti yang terletak bersebelahan dengan kampung berkenaan.

“Hanya seekor gajah jantan yang memasuki kawasan perkampungan sehingga kini.

“Gajah jantan itu adalah satu daripada kumpulan ID Panti (anggaran populasi 30 hingga 40 ekor),” katanya dihubungi.

 Windsor John Paul
Windsor John Paul

Beliau berkata, gajah itu dipercayai gajah tunggal berikutan sering bergerak bersendirian dan dianggarkan berusia 40 tahun.

“Menurut penduduk, gajah terbabit selalu dilihat memasuki kawasan kampung malah ada yang menamakannya ‘Ujang’.

“PERHILITAN Johor tidak menerima sebarang aduan rasmi setakat ini namun akan menjalankan kawalan dan pemantauan di lokasi aduan mulai malam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:48 PM