Dadah disembunyikan dalam perut ikan patin (gambar kiri) dan serbuk warna hijau disyaki daun ketum (gambar kanan) yang dirampas JKDM di KLIA baru-baru ini. Foto Ihsan JKDM
Dadah disembunyikan dalam perut ikan patin (gambar kiri) dan serbuk warna hijau disyaki daun ketum (gambar kanan) yang dirampas JKDM di KLIA baru-baru ini. Foto Ihsan JKDM
Rosyahaida Abdullah

CUBAAN menyeludup dadah jenis ketamin dan serbuk daun ketum bernilai hampir RM6.2 juta digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua pemeriksaan berasingan di Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, kes pertama membabitkan rampasan ketamin seberat 54.36 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.45 juta yang cuba diseludup keluar pada 3 pagi, 15 Mac lalu.

Menurutnya, dadah terbabit disorok dalam perut ikan patin yang kemudian diikrar sebagai makanan laut sejuk beku dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil maklumat dan risikan, sejumlah 28 kotak polisterin yang diikrar sebagai makanan laut sejuk beku untuk tujuan eksport ke Hong Kong diperiksa pegawai penguatkuasaan Unit III Zon Tengah JKDM.

“Pemeriksaan membawa kepada penemuan 190 bungkusan ketulan mampat berbalut plastik hitam yang mengandungi serbuk putih disorok di dalam perut ikan.

“Semua dadah yang destinasi akhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong itu dirampas dan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Zulkurnain berkata, bagi kes kedua pula, serbuk daun ketum atau mitragynine seberat 747.73 kg bernilai RM3.74 juta dirampas pasukannya ketika cuba diseludup ke negara ini pada 2.35 petang, 16 Mac lalu.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan pegawai penguatkuasaan unit sama turut melakukan pemeriksaan ke atas 39 kotak yang diikrar sebagai ‘Mitragyna Speciose Leaf Powder’ dan diimport dari Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah bungkusan lut sinar mengandungi serbuk warna hijau disyaki daun ketum (mitragynine) yang disimpan di dalam semua kotak berkenaan.

“Susulan itu, serbuk daun ketum dari Indonesia dirampas dan seorang warga tempatan turut ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, orang yang disyaki (OYDS) bagi kes pertama direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut bermula 16 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 15 sebatan.

“Kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 7:35 PM