Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyembunyikan maklumat berkaitan kluster Covid-19 terutama dalam kalangan jemaah menghadiri Perhimpunan Sri Petaling.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, terdapat data berkaitan kluster yang dipercayai menyebabkan penularan virus berkenaan berpanjangan dari segi rantaian.

“Saya mohon kepada mana-mana pihak yang ada kontak dengan kluster supaya keluar membuat saringan. Untuk pengetahuan, ini bukan untuk menahan mereka ini, namun diingatkan supaya tampil memberi kerjasama dengan membuat saringan.

“Ini adalah amaran pertama dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu. Sudah tiba masanya pada fasa kedua ini untuk kami mengambil tindakan tegas.

“Namun, apa tindakan tegas yang diambil nanti akan dimaklumkan kemudian. Kita tunggu dulu apabila mereka ditahan,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Hamzah berkata, pihaknya mengenal pasti kira-kira 10,000 individu yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

“Jumlah sebenar individu yang hadir pada perhimpunan itu tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan maklumat diperolehi, dianggarkan 10,000 individu hadir pada perhimpunan itu.

“Mungkin ada 4,000 hingga 5,000 lagi individu dipercayai menyertai perhimpunan berkenaan, namun belum dapat dipastikan jumlah sebenar. Setakat ini, lebih 10,000 jemaah tabligh sudah tampil membuat saringan,” katanya.

HAMZAH (kiri) ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang akan bermula esok bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HAMZAH (kiri) ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang akan bermula esok bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan ada segelintir individu yang masih berdegil melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa kedua esok.

“Pada hari pertama lawatan saya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini membincangkan beberapa perkara terutama Covid-19.

“Daripada kajian dilakukan, masih ada segelintir individu yang degil dan tidak mendengar arahan dikeluarkan kerajaan.

“Justeru, kami sedang melihat sama ada perlu untuk memperketatkan sekatan jalan raya atau ada strategi lain yang berkesan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu bagi mengelakkan perpecahan rakyat terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 8:00 PM